Generasi Y pada masa kini, sudah berani untuk mengambil alih tugas di pejabat dari generasi X dan perkara ini amat sukar bagi mereka untuk mengekalkan kerjaya di pejabat.
Ini kerana, mereka yang berada di generasi Y inginkan sesuatu yang baru yang dapat memberikan mereka kepuasan ketika bekerja. Jika kita sering diarah untuk melakukan beberapa perkara yang sama pada setiap hari, kemungkinan ini akan membuatkan kehidupan kita tidak menjadi lebih produktif.
Mengapa? Segala aktiviti yang kita gemari akan menjadi lebih tersekat oleh kerana masa yang tidak mencukupi dengan melakukan pelbagai tugasan yang diberi. Sebagai manusia, kita juga ingin pergi bercuti bersama-sama dengan rakan, serta melakukan aktiviti yang menyeronokkan.
Berikut merupakan beberapa kelebihan apabila anda bekerja di rumah mahupun di pejabat.
Kelebihan Berbisnes Di Rumah
#1 – Bebas Untuk Dekorasi Pejabat Mengikut Kreativiti
Apabila anda bekerja di rumah, salah satu kelebihan yang didapati adalah anda boleh mereka bentuk suasana kerja mengikut kreativiti yang diinginkan. Tiada siapa yang dapat menghalang anda dari melakukannya asalkan kerja dapat diselesaikan.
Bekerja di rumah juga mampu memberikan semangat yang positif jika anda mampu membuatkan persekitaran kerja seperti berada di pejabat.
#2 – Lakukan Kerja Di Mana Sahaja Yang Anda Mahu
Mungkin agak bosan bagi anda apabila sering melakukan kerja seharian di rumah. Ambil inisiatif ini sebagai satu persekitaran yang baru buat anda. Iaitu, keluar dari rumah dan mencari tempat yang selesa untuk melakukan kerja.
Sekiranya disediakan WiFi, lebih mudah untuk melakukan kerja sambil menghirup kopi yang segar dan secara tidak langsung, perkara ini juga turut dapat meningkatkan sikap yang positif dan mampu untuk berfikir dengan baik.
#3 – Mempunyai Masa Kerja Yang Fleksibel
Kebanyakan pekerjaan di pejabat memerlukan anda bekerja dari pukul 9 pagi sehingga 5 petang, ataupun lebih dari waktu itu.
Bagi sesetengah individu, mungkin perkara ini sudah tidak produktif lagi buat mereka. Dengan melakukan kerja di rumah, masa anda akan menjadi lebih fleksibel dan produktif. Ini kerana, anda tidak akan disekat oleh waktu pejabat yang mempunyai peraturan serta masa yang telah di tetapkan.
#4 – Masa Untuk Keluarga Dan Rakan-Rakan
Bagaimana anda seimbangkan waktu kerja dan kehidupan seharian?. Mungkin agak sukar untuk anda membahagikan masa antara kerja dan kehidupan semasa bekerja di pejabat. Namun, dengan melakukan kerja di rumah anda mempunyai lebih banyak masa untuk keluarga dan rakan-rakan.
Bagi mereka yang telah berumahtangga, masa untuk pasangan dan anak-anak lebih teratur dan dapat memberi perhatian yang sepenuhnya.
Terutamanya bagi ibu bapa yang masih mempunyai anak yang masih kecil ataupun bersekolah, langkah keselamatan buat mereka amat penting supaya tidak berlaku sebarang perkara buruk yang akan berlaku. Namun, jika anda bijak menguruskan masa dengan baik, segala aktiviti sosial dapat dilakukan dengan lebih seronok.
Kelebihan Bekerja Di Pejabat
#1 – Pengurusan Masa Yang Lebih Teratur
Jika anda bekerja di pejabat, ada beberapa peraturan yang perlu diikuti. Contohnya, waktu anda memasuki pejabat, menghantar tugasan serta menghadiri mesyuarat.
Secara tidak langsung, ianya dapat membuatkan pengurusan masa anda akan lebih teratur dan lebih produktif. Menepati masa merupakan tanggungjawab kita sebagai seorang pekerja dan setiap satu saat masa yang berlalu, tidak akan kembali lagi.
Seorang individu yang melakukan kerja di awal waktu, secara tidak langsung dapat mengubah hidup mereka ke arah yang lebih produktif serta mempunyai sikap yang berdisipilin. Dengan ini, apabila pulang kerumah anda tidak perlu lagi memikirkan segala tugasan di pejabat setelah bersungguh-sungguh melakukannya.
#2 – Belajar Untuk Jadi Individu Yang Lebih Profesional
Seorang individu yang bijak berkomunikasi dengan baik serta mempunyai kemahiran yang tinggi, dapat membuatkan anda menjadi seorang yang lebih profesional dalam melakukan kerja. Selain dari itu, dari segi berpakaian juga amat dititikberatkan bagi menunjukkan anda menjadi seorang yang lebih berkeyakinan apabila bertemu dengan orang ramai.
Berkeyakinan disini bermaksud, anda mempunyai fizikal yang menarik, sentiasa berpakaian kemas dan tidak menjolok mata, serta bijak untuk berkomunikasi dengan baik. Secara tidak langsung, sikap profesional akan hadir dalam diri anda.
#3 – Berpeluang Untuk Menimba Ilmu Pengetahuan
Dikelilingi oleh orang-orang yang berilmu dan ahli korporat, samada rakan sekerja di pejabat, anda akan sentiasa mempunyai peluang untuk belajar daripada mereka segala ilmu-ilmu yang mereka ada.
Ini kerana, setiap daripada mereka datang dari pelbagai bidang dan ambil kesempatan ini untuk rajin bertanya. Semakin rajin anda bertanya, semakin banyak ilmu yang akan diperolehi. Jelaslah disini bahawa, bekerja di pejabat adalah platform yang terbaik utuk anda menimba lebih banyak ilmu.
#4 – Persaingan Yang Sihat Antara Rakan Sekerja
Mempunyai persaingan yang sihat antara rakan sekerja dapat menimbulkan suasana kerja yang lebih produktif. Ini kerana, apabila salah seorang rakan sekerja anda dapat melakukan kerja dengan baik, ianya juga dapat memberikan impak yang positif dalam diri. Namun, usaha harus selari dengan matlamat dan tidak mudah mengenal erti putus asa.