Salah satu punca kerugian besar dalam aktiviti pengiklanan adalah menyasarkan audiens yang silap. Ibarat anda dalam satu pertandingan larian dan anda lari ke arah yang silap, adakah anda akan berjaya memenangi pertandingan berkenaan? Tentu sekali jawapannya tidak.
Tidak kiralah betapa hebat produk anda, betapa hebat bahan promosi, betapa hebat tawaran harga, betapa hebat jaminan wang dikembalikan, aktiviti marketing anda tetap akan gagal.
Proses percubaan adalah penting untuk mengelakkan kerugian yang besar dalam aktviti pengiklanan. Kos pengiklanan adalah tinggi dan bukan boleh diambil sambil lewa.
#1-Pengalaman Saya Mencuba Pengiklanan Di Akhbar Politik
Mematuhi ajaran sifu, saya sebagai seorang usahawan sentiasa melakukan percubaan dalam skala dan kos yang kecil sebelum melakukan pengiklanan yang lebih besar. Salah satu kesilapan yang saya buat adalah mengiklan sebuah bengkel untuk pelajar sekolah di sebuah akhbar politik.
Sebab utama saya cuba mengiklan di akhbar politik berkenaan adalah bilangan pembaca yang sangat tinggi. Telahan saya adalah lebih tinggi pembaca, lebih banyak jualan yang saya akan dapat.
Selepas mengiklan untuk 4 kali, respons yang saya terima amat menghampakan. Hanya beberapa panggilan yang saya terima, itupun dari pembaca wanita sedangkan akhbar politik biasanya dibaca oleh lelaki. Nasib baik saya hanya membeli classified ad yang hanya berharga lebih kurang RM100 sahaja.
#2-Kali Kedua, Saya Cuba Iklan di Sebuah Majalah Wanita Pula!
Selepas kegagalan iklan di akhbar politik berkenaan, saya cuba pula mengiklan di sebuah majalah wanita. Sambutan untuk kali pertama sahaja sudah memberi sambutan yang memberangsangkan. Slot untuk kursus saya telah terjual sepenuhnya hanya melalui iklan di majalah tersebut.
Sebagai perbandingan, mungkin anda menulis bahan promosi yang sederhana, dan harga yang kurang kompetitif tetapi disasarkan kepada audiens yang tepat, ia akan membawa hasil yang lebih baik dari bahan promosi yang hebat seperti dinyatakan dalam situasi pertama.
Bukanlah saya menyatakan bahawa anda perlu membuat bahan prmosoi yang lemah. Apa yang kita cuba fokuskan di sini adalah peri pentingnya aktiviti pemasaran disasarkan kepada audiens yang tepat.
#3-Betulkah Kita Boleh Jual Produk Kepada Semua Orang?
Apabila saya bertanyakan kepada peniaga tentang siapa prospek sasaran mereka, mereka akan menjawab “semua orang”. Ia kedengaran seperti suatu strategi yang bijak dengan mensasarkan semua orang akan membeli produk berkenaan. Wah, hebatnya produk mereka.
Semua orang bererti kesemua penduduk dunia. Letakkan sahaja keuntungan prdouk berkenaan RM1, maka dengan mudahnya peniaga berkenaan menjadi billionaire. Malangnya ia adalah bukti bahawa usahawan berkenaan tidak melakukan kajian pasaran yang mendalam.
Kata Kunci Utama Pengiklanan – Kenal & Jual Kepada Pelanggan Yang Betul
Dan Kennedy, seorang pakar pemasaran antarabangsa ternama mengibaratkan situasi di atas seperti “Cuba menembak sasaran yang bergerak, kebarangkalian untuk mengena adalah rendah”
Beliau juga berkata bahawa bahan promosi yang lemah yang ditujukan kepada audiens yang betul mungkin mendapat respons yang kurang menggalakkan. Walaupun begitu, ia adalah jauh lebih baik dari bahan promosi yang mengandungi mesej yang hebat tetapi ditujukan kepada audiens yang salah.