Bank Simpanan Nasional (BSN) mengakui telah mengeluarkan notis bahawa permohonan pinjaman peribadi dari pekerja bagi Sektor Minyak dan Gas akan ditolak, lapor The Star.
“Ya, ia sebenarnya memo dalaman sahaja,” kata Ketua Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar.
Menurut Puspa, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira dari segi operasi, perniagaan dan ianya hanyalah sementara. Dalam masa yang sama, BSN juga akan mengetatkan peraturan terhadap kelulusan pinjaman baru termasuk produk kredit sebagai langkah berjaga-jaga.
“Ia adalah sebahagian dari prosedur standard kami untuk mengkaji secara konsisten perkembangan dalam sektor kewangan dan ekonomi yang boleh memberikan kesan ke atas perniagaan kami,” katanya.
“Ini termasuk melihat pada industri yang sedang berdepan dengan cabaran seperti keadaan yang dialami oleh industri minyak dan gas pada ketika ini.
“Cadangan memperketatkan lagi kelulusan pinjaman dan kredit merupakan langkah sementara, selaras dengan jangkaan umum untuk pengurusan risiko yang berhemat,” katanya.
Walau bagaimanapun, Puspa menegaskan bahawa memo itu adalah untuk pihak dalamannya sahaja, bukan untuk dihebahkan kepada orang awam. Memo tersebut adalah untuk unit perniagaan dan ekskutif peringkat tinggi.
E-mel notis BSN itu tersebar di media sosial yang menyatakan bahawa semua permohonan pinjaman peribadi, kad kredit, pinjaman HP (sewa beli) dari pekerja sektor minyak dan gas akan ditolak terlebih dahulu.
Notis tersebut juga mengarahkan eksekutif jualan BSN menghentikan pemasaran dan menerima permohonan dari pekerja minyak dan gas. Bagaimanapun notis itu tidak terpakai pada pekerja bukan kontrak, Petronas. Namun kelulusan mereka juga tertakluk pada kelulusan daripada ibu pejabat.
Mencari pekerjaan yang baru ada kalanya amat sukar untuk anda. Untuk mengelakkan anda melakukan beberapa tabiat buruk yang akan menyebabkan nampak tidak professional, artikel ini menerangkan beberapa perkara yang ditulis oleh pakar-pakar yang lebih berpengalaman.
Di bawah adalah beberapa perkara yang ingin kami kongsikan, untuk mengelakkan anda melakukan perkara tersebut :
Sebelum anda memohon sesuatu pekerjaan, pastikan resume anda lengkap dan mudah di fahami untuk dinilai oleh pihak bahagian sumber manusia.
Jika semasa sesi temu duga terdapat banyak kesilapan tatabahasa, dan format yang sepatutnya anda ikuti ketika melakukan resume.
Secara tidak langsung mereka akan memandang anda seperti tidak serius ketika melakukan kerja. Ini kerana, semasa sesi temuduga adalah waktu yang terbaik untuk mereka menilai diri anda yang sebenarnya.
Jika anda telah dipanggil untuk di temuduga, pastikan anda ulangkaji dahulu tentang syarikat tersebut. Contohnya, apakah latar belakang syarikat itu, berapakah gaji yang ditawarkan, dan sebagainya.
Justeru, jika anda telah memilih untuk bekerja di syarikat tersebut, ini menunjukkan bahawa anda telah menerima syarat-syarat yang di tetapkan oleh mereka. Malah, jika anda mengambil sikap sambil lewa, ini akan menujukkan bahawa peluang untuk mendapatkan pekerjaaan tersebut amat nipis.
Jika anda ingin mendapatkan resume yang bagus, isi kandungan dan format yang kemas dan tepat adalah yang terbaik. Walaupun menggunakan kertas yang berwarna, atau menggunakan fon, tidak dinafikan resume anda akan dapat menarik perhatian. Tetapi, itu bukanlah resume yang menepati ciri-ciri untuk anda memohon pekerjaan.
Semasa anda sedang menunggu giliran untuk dipanggil temuduga, elakkan sama sekali untuk menghisap rokok. Ini kerana, ianya akan menyebabkan bau yang kurang menyenangkan buat semua orang yang berada di situ mahupun kepada penemuduga tersebut.
Secara tidak langsung, ini akan menyebabkan prestasi anda sebagai calon temuduga akan dinilai dengan sikap negatif.
Pastikan diri anda sentiasa kemas dan wangi ketika hadir di sesi temuduga. Penampilan yang menarik dapat memberikan aura yang positif dalam diri, mahupun kepada orang sekeliling.
Ini kerana, pandangan pertama yang akan dilihat oleh majikan adalah, bagaimana cara kita berinteraksi dengan mereka. Cuba anda bayangkan, jika terdapat bau yang kurang menyenangkan, adakah anda dapat berkomunikasi dengan baik? tentu sekali tidak.
Individu yang sering tepati dan menghargai masa adalah individu yang berjaya. Namun, bagaimana untuk berjaya jika hari pertama sesi temuduga anda sudah lewat untuk hadirkan diri.
Jika anda lewat, ini akan menujukkan bahawa, anda tidak bertanggungjawab dengan peluang yang diberi, tidak menghormati masa dan tidak mengambil hal ini dengan serius. Majikan pula sudah tentu tidak mempunyai masa yang banyak untuk menunggu anda.
Pastikan anda tiba di lokasi sekurang-kurangnya 15 minit awal sebelum bermula sesi temuduga. Kelebihan yang anda dapat jika tiba awal adalah, anda tidak akan tergesa-gesa untuk mengejar masa, dan lebih banyak masa untuk anda menyesuaikan diri di lokasi tersebut.
Tiba awal semasa sesi temuduga adalah bagus, tetapi jika anda kerap bermain dengan telefon akan menujukkan yang anda sering tidak bersedia untuk ditemuduga. Sentiasa berhati-hati dengan segala tingkah laku yang anda lakukan. Selain itu, banyak aktiviti lain yang boleh anda lakukan selain bermain dengan telefon. Ambil peluang dan masa yang ada untuk membaca bahan ilmiah yang disediakan untuk mengelakkan anda kebosanan apabila menunggu.
Elakkan membawa barang yang tidak penting semasa sesi temuduga. Apa yang penting adalah, anda perlu membawa resume dan portfolio sahaja. Barang yang tidak penting adalah seperti, telefon bimbit dan botol air yang akan menyebabkan anda sukar untuk bergerak. Jika anda ingin membawa telefon bimbit, pastikan ianya dalam keadaan mood senyap atau matikan sahaja supaya tidak menganggu semasa sesi temuduga sedang dijalankan.
Perkara ini tidak asing lagi bagi kita yang sudah menjadi kebiasaan apabila mengadiri temuduga. Sebelum hadirkan diri, pastikan anda tahu apakah jenis pekerjaan yang anda mohon.
Jika ada memohon untuk bekerja di dalam pejabat, adalah amat penting jika anda berpakaian formal dan kemas. Pandangan pertama daripada majikan amat penting untuk menilai anda dari segi perwatakkan.
Tidak kira dimana anda berada, sentiasa berfikir dahulu ketika mahu mulakan perbualan. Ini adalah kerana, supaya tidak memberikan tanggapan yang negatif buat orang lain.
Semasa sesi temuduga sedang dijalankan, ketika anda di tanya oleh majikan beberapa soalan yang agar sukar, adalah amat penting jika anda berfikir dahulu. Kata-kata yang baik adalah datangnya dari berfikir dengan bijak. Secara tidak langsung, ini akan membuatkan anda lebih berkeyakinan apabila berkomunikasi.
Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, anda tidak boleh hanya duduk diam tanpa melakukan apa-apa dan mengharapkan panggilan daripada pelanggan. Anda perlu menjadi seorang yang produktif dan sentiasa bergerak pantas untuk merebut peluang yang ada.
Dalam usaha anda untuk mendapatkan kejayaan, penting untuk anda tahu bagaimana cara yang berkesan untuk menarik perhatian pelanggan. Seterusnya menjadikan mereka sebagai pelanggan yang setia terhadap produk yang anda jual. Berikut merupakan beberapa cara yang berkesan supaya pelanggan setia dengan anda.
Sebagai seorang usahawan, penting untuk anda sentiasa menghargai masa yang ada, kerana sudah tentu masa yang terluang akan diisi dengan pelbagai tugasan yang perlu diselesaikan.
Jadilah seorang individu yang bijak menguruskan masa dengan baik untuk menujukkan anda seorang yang sangat profesional. Jika anda berjanji untuk bertemu dengan pelanggan pada waktu yang telah ditetapkan, pastikan anda bersedia dan hadir lebih awal untuk mengelakkan pelanggan menunggu dengan lebih lama.
Untuk mendapatkan hubungan yang baik antara pelanggan, penting untuk anda mengenal pasti dahulu apakah jenis masalah yang dihadapi oleh mereka, dan terangkan bagaimana anda akan menyelesaikan masalah tersebut. Secara tidak langsung, mereka akan lebih merasa selesa untuk berkomunikasi.
Namun, anda perlu lebih berhati-hati apabila ingin memulakan perbualan kerana pelanggan ini banyak ragamnya. Komunikasi yang baik dapat memberi kesan dan impak yang positif untuk menarik perhatian pelanggan. Selain itu, terangkan kepada mereka cara-cara yang lebih berkesan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Bukan mudah untuk berurusan dengan pelanggan jika anda tidak tahu bagaimana cara yang terbaik untuk memulakan perbualan. Tetapi, ianya tidak akan menjadi satu perkara yang mustahil sekiranya anda bijak untuk memulakannya.
Namun, anda tidak boleh menganggap semua pelanggan mempunyai sikap yang sama. Rintangan dalam perniagaan pasti ada, tetapi ianya bergantung kepada diri anda sendiri bagaimana mahu menyelesaikannya.
Walau bagaimanapun, jika anda sudah memulakan perbualan, tetapi pelanggan seperti tidak berminat anda boleh menggunakan kaedah yang lain.
Antaranya adalah, dengan bertanyakan mungkin mereka ada beberapa soalan yang hendak dikatakan ataupun, dengan memahami kehendak mereka. Kata kunci untuk mengelakkan rintangan dalam perbualan adalah, anda harus bijak berkata-kata.
Sudah terbukti dengan memberikan senyuman akan membuatkan orang lain senang untuk berinteraksi dengan kita. Ia merupakan satu cara yang paling mudah untuk membuatkan pelanggan merasa selesa untuk berkomunikasi dan secara tidak langsung, mereka juga akan melihat anda sebagai seorang individu yang mudah didekati.
Sekiranya anda mahu mereka menjadi pelanggan yang setia kepada anda, anda seharusnya menjadi seorang pendengar yang baik kepada mereka. Dengan mendengar masalah, dan kehendak mereka secara tidak langsung dapat membuatkan hubungan anda dengan pelanggan menjadi semakin rapat dan senang untuk melakukan transaksi jual beli.
Ingin mendapatkan perhatian pelanggan anda? Panggil nama mereka dengan kerap. Salah satu bunyi yang paling menyenangkan seseorang adalah dengan mendegar nama mereka sendiri. Dengan menggunakan nama pelanggan anda apabila anda bercakap dengan mereka, akan membuatkan mereka lebih memberi tumpuan kepada apa yang anda katakan.
Apabila anda berurusan dengan pelanggan, anda perlu menyampaikan mesej yang bermanfaat dan yang mudah unuk difahami oleh mereka. Selain itu, jika anda sudah mempunyai jenama yang kukuh ia dapat meningkatkan kepercayaan pelanggan terhadap produk anda serta dapat bersaing dengan pelanggan anda.
Kecerdasan emosi mampu meningkatkan kemahiran sosial dalam diri kita. Apa yang anda perlu lakukan adalah, sentiasa berfikiran positif supaya kemahiran sosial yang ada pada diri dapat diwujudkan.
Artikel kali ini kami akan kongsikan 7 kemahiran sosial yang akan dapat membantu anda tidak kira berada di dalam pejabat mahupun bersama rakan-rakan anda yang boleh dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Bagi sesetengah individu, perkara ini mungkin mudah bagi mereka, tetapi dalam komunikasi mata memainkan peranan yang penting. Ini kerana, ianya dapat mewujudkan keserasian dan keyakinan terhadap individu tersebut.
Malah, keyakinan adalah salah satu kualiti yang dapat menarik orang ramai untuk lebih mengenali siapa diri anda. Tingkah laku yang positif, dapat memberikan individu tersebut menggunakan peranan mata dengan baik.
Masih belum terlambat buat anda untuk melakukannya. Ini kerana, perkara ini tidak memerlukan sebarang kemahiran malah, memerlukan komitmen yang ada dalam diri dan juga pandangan individu ketika memulakan perbualan.
Ketika anda di dalam mesyuarat mahupun sedang berbual bersama rakan-rakan, lebih elok jika letakkan ketepi dahulu telefon pintar anda. Pastikan beri perhatian sepenuhnya pada mereka untuk mengelakkan gangguan yang akan berlaku. Tabiat ini tidak memerlukan sebarang kemahiran mahupun usaha namun, ianya salah satu kemahiran sosial yang perlu ada pada setiap individu.
Memberikan layanan yang baik mampu membuatkan orang lain selesa dengan kehadiran kita. Salah satunya adalah dengan memanggil mereka dengan nama, secara tidak langsung individu tersebut dapat memberikan aura yang positif dalam diri. Selain dari itu, memberikan layanan yang baik kepada pekerja baru juga dapat membuatkan individu tersebut berasa selasa dan tidak rasa dipinggirkan.
Sentiasa memberikan senyuman adalah salah satu kemahiran sosial yang perlu wujud dalam diri kita. Selain ianya salah satu amalan sedekah, senyuman juga mampu membuatkan individu tersebut mudah didekati. Namun, jika anda mahu lebih disenangi dan didekati, bahasa tubuh memainkan peranan yang penting dalam membentuk satu kumpulan yang sentiasa bekerjasama dan membantu antara satu sama lain.
Kajian menunjukkan bahawa, mereka yang berjabat tangan apabila bertemu dengan orang lain dapat memberikan kesan yang positif dalam diri seseorang. Malah, ianya juga dapat mewujudkan individu tersebut mempunyai postur tubuh yang baik serta mudah untuk didekati.
Jika anda mampu untuk menjadi pendengar yang baik, secara tidak langsung orang ramai mudah untuk meluahkan perasaan mereka terhadap anda. Mendengar adalah lebih baik daripada anda berkata-kata dan sekiranya terdapat idea-idea yang bernas diberikan oleh setiap individu, adalah lebih baik untuk anda mendegar dahulu daripada bersuara.
Mendengar dan memberi pendapat adalah satu kaedah yang boleh kita gunaka ketika sedang menghadiri mesyuarat mahupun berbual bersama rakan-rakan anda. Apabila anda dapat mendengar dengan baik, cuba untuk memberi pendapat yang baik pula. Ini kerana, segala pendapat anda mungkin dapat digunakan pada masa akan datang. Idea yang bernas dapat memberikan kesan yang positif dalam organisasi anda.
Syarikat Loob Holding Sdn Bhd merupakan syarikat yang bertanggungjawab membawa Chatime ke Malaysia. Selain Chatime, syarikat ini juga turut mengasaskan sebuah restoran Jepun iaitu Hacha Mecha yang terletak di Kuala Lumpur, bar wisky Ikki, Spanish yogurt Llao Llao, dan terakhir sekali adalah wafel Grid & Go.
Bryan Loo merupakan pengasas dan juga pengarah, telah memenangi beberapa anugerah iaitu, Best Master Franchisor pada tahun 2012 dan ‘Emerging Entrepreneur of the Year’ di Ernst & Young Entrepreneur pada tahun 2013.
Sebelum melangkah ke dunia usahawan, beliau merupakan seorang pelajar dari Monash University berkelulusan dalam bidang Bioteknologi, dan seterusnya bekerja dalam syarikat sel stem. Selepas 2 tahun bekerja dalam bidang tersebut, beliau telah bertukar angin dan ingin memulakan perniagaan dalam F & B franchais bersama-sama dengan bapanya.
Akhirnya, Loo berjaya mencipta produk minumannya sendiri iaitu Chatime, dan yang paling membanggakan produk tersebut berjaya menambat hati pelanggan yang membelinya. Kini, Chatime telah mempunyai 150 cawangan di seluruh negara.
Di sini, terdapat beberapa hasil perkongsian beliau dan juga nasihat yang boleh kita semua ikuti.
Bapa muda kepada dua orang anak perempuan ini berkata, “Jika anda ingin menjadi seorang usahawan yang berjaya, anda perlu bijak untuk mencari dan merebut peluang yang ada” . Ini kerana, jika anda sentiasa melengah-lengahkan usaha, peluang tersebut tidak akan datang kembali.
Untuk menjadi seorang usawahan yang berjaya, tidak semestinya anda mempunyai idea-idea yang hebat. Apa yang paling penting adalah, mempunyai individu yang sering bersama-sama dengan kita sewaktu susah ataupun senang. Keluarga dan rakan-rakan antara orang yang paling dekat dengan kita, merekalah yang sentiasa memberi dorongan dan galakan untuk terus berjaya. Bagi Loo, tanpa mereka beliau tidak mungkin akan dapat berjaya sehingga ke tahap sekarang.
Kini, beliau mempunyai 15 orang rakan-rakan yang dikenalinya sejak zaman kanak-kanak, dan telah bekerja dengannya dalam perniagaan ini serta memegang jawatan yang penting dalam syarikat.
Pasaran global pada masa kini sentiasa berubah-rubah, pengguna lebih bijak untuk menilai tentang produk yang mereka gunakan. Maka, anda perlu membina jiwa dalam sesuatu produk supaya lebih ramai pengguna yang membelinya. Visi dan misi dalam syarikat juga penting untuk anda tahu supaya matlamat yang dituju lebih jelas.
Loo sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa, perasaan takut untuk mengadapi kegagalan tidak sepatutnya wujud dalam kamus hidup seorang usahawan. Menurut beliau lagi, sebelum ini pasukannya telah banyak kali gagal dan dari kegagalan itulah yang menjadikan pengajaran kepada mereka supaya berusaha dengan lebih gigih sehingga ke peringkat yang seterusnya.
Sebelum beliau menubuhkan Chatime, beliau mempunyai idea untuk menceburi perniagaan teh. Kemudian, Loo telah terbang ke Taiwan dengan harapan dapat membawa balik mana-mana jenama utama francais teh ke Malaysia. Namun, nasib tidak menyebelahi beliau kerana mereka telah memberi tumpuan kepada pasaran Cina. Kerana, mereka tidak berminat dengan pasaran yang ada di Malaysia.
Akhirnya, Loo pulang ke Malaysia dengan tangan yang kosong. Kemudian, sepupu beliau telah memberi idea supaya membuka bisnes minuman iatu Chatime. Oleh kerana itulah, Loo telah didorong untuk memulakan perniagaan yang baru.
Menurut Loo, membina perniagaan sendiri membolehkan anda untuk mencipta jenama dalam tempoh yang singkat. Beliau menjelaskan bahawa, apabila seseorang membuka perniagaan, pasti ia menggunakan sistem dan prosedur yang sama. Justeru, lebih banyak anda akan mewujudkan jenama yang lebih berbeza daripada jenama lain.
Walaupun Loo telah berjaya dalam perniagannya, namun dia juga menggunakan mentor untuk membimbing beliau dalam perniagaan. Mentor tersebut tidak lain dan tidak bukan, adalah bapanya sendiri. Bapanya merupakan individu yang sering memberi galakkan untuk beliau meneruskan impian, dan percaya bahawa anaknya pasti akan berjaya.
Usahawan yang berjaya, mereka tidak takut akan kegagalan dan berani untuk mengambil risiko. Begitu juga dengan Loo, beliau telah mencuba pelbagai risiko dalam peniagaan tetapi, orang ramai menganggap perbuatannya merupakan satu perkara yang tidak masuk akal sama sekali. Namun, kata-kata itu tidak sedikit pun mematahkan semangat beliau. Kerana, tiada apa yang mustahil jika kita ingin berjaya.
Jika anda mempunyai bakat dalam sesuatu bidang, apa kata anda menggunakan bakat tersebut. Belum cuba, belum tahu. Seperti Loo, walaupun beliau lahir dalam jurusan yang berbeza namun beliau mempunyai bakat yang sangat hebat dalam dunia perniagaan. Kerana itulah, wujudnya produk minuman Chatime.
Menurut Loo, beliau sentiasa berusaha untuk memastikan usahanya sentiasa berterusan. Tetapi, bukan sahaja dalam perniagaan malah sentiasa konsisten untuk menjaga kualiti produk supaya dapat menarik ramai pelanggan.
Usahawan muda yang berusia 29 tahun ini berkata, beliau sentiasa memberikan penghargaan kepada bapanya yakni seorang individu yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaannya. Bapanya juga telah banyak mengajaranya erti kehidupan yang sebenar supaya menjadi usahawan yang berjaya.
Rahsia kejayaan seorang usahawan, bukan terletak kepada berapa banyak nilai keuntungan, dan jualan yang anda perolehi. Tetapi apa yang paling penting adalah, individu yang sentiasa memberi inspirasi dan motivasi kepada orang ramai.
Cuba anda fikirkan orang yang paling berjaya yang anda tahu. Sekurang-kurangnya 2-3 orang yang paling anda rapat. Sekarang fikirkan beberapa perkataan yang paling menggambarkan orang itu.
Apa yang terlintas di fikiran? Pintar? Sangat terurus? Yakin? Berdisiplin? Sentiasa berinspirasi?
Jika anda seperti orang kebanyakan, anda mungkin gambarkan sebahagian besarnya mempunyai sikap yakin, berdisiplin dan sentiasa memberi inspirasi.
Dalam erti kata lain, sifatnya lebih terarah kepada sikap, tabiat orang itu, daripada pengetahuan atau kemahiran mereka yang mereka ada. Lain-lain perkataan yang memberi maksud yang lebih kurang sama adalah termasuk rajin, berani, merendah diri, dan punyai berpengaruh yang tinggi.
Latihan ini adalah salah satu daripada beberapa siri sesi preview yang diadakan oleh Dale Carnegie di dalam program “Skill for Success” di bandar New York . Kursus ini adalah salah satu daripada beberapa program latihan Dale Carnegie yang ditawarkan di seluruh dunia,. Buat anda yang mungkin tidak tahu , Dale Carnegie merupakan seorang penulis buku ‘bestseller’ “How to Win Friends and Influence People.”
Warren Buffett berkata beliau telah menghadiri kelas Dale Carnegie ini ketika dia masih kecil, dan ia mengubah hidupnya & mengatasi rasa takut pada pengucapan awam.
Bersama dengan kira-kira 40 peserta yang lain, beliau menghadiri sesi preview “Skill for Success”. Salah satu ilmu yang beliau bawa pulang adalah bahawa pentingnya sikap yang betul untuk anda hadapi cabaran hidup dan bisnes setiap hari, lebih penting dari apa kelayakan anda di atas kertas (sijil) dan kemahiran anda.
Untuk menggambarkan perkara ini, pengajar latihan Dale Carnegie iaitu Marc Fowler, membacakan senarai 21 objek secara rawak, beliau kemudiannya memberitahu awal-awal bahawa setiap objek yang melambangkan maksud yang berbeza-beza. Dan beliau meminta peserta yang lain dapat membaca senarai yang disebutkan tadi tanpa ada kesilapan!
Malangnya, seperti dijangkakan, tiada siapa yang angkat tangan, dan berani untuk menawarkan diri!
Beliau kemudian menerangkan maksud setiap 21 objek tersebut dan meminta kami mengingati objek dan maksudnya secara berpasangan. Hampir setiap pasangan membuktikan prestasi mereka meningkat dengan pantas dari kali pertama mereka akan cuba. Malah ada 2-3 pasangan tampil ke hadapan untuk menerangkan setiap objek dan maksudnya dengan betul! Dan mereka dapat terangkan dengan penuh yakin.
Jelas sekali, disini kita tahu, tidak semua cabaran begitu mudah untuk diatasi. Tetapi melalui latihan ini, ia mengajar kita, sekurang-kurangnya, mengatakan “Ya, saya boleh”! Cuba dahulu, dan ‘adjust’ kemudian!
Fowler tidak pernah memberi tahu secara khusus bahawa kita tidak boleh bekerja secara berpasangan, mendengar semula senarai itu, atau meneka. Jika kita akan mempunyai sikap yang lebih positif, kita mungkin telah menyedari bahawa strategi ini boleh menjadi laluan untuk kejayaan – kegagalan yang tidak dapat dielakkan.
Pengajaran ini juga mempunyai beberapa implikasi penting di tempat kerja. Fowler juga berkata kepada kami, sesetengah majikan sering mengutamakan pekerja berdasarkan pengetahuan serta kemahiran yang mereka ada. Mereka lebih mengutamakan calon pekerja yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang cukup, serta kemahiran yang boleh memenuhi apa yang dimahukan oleh syarikat.
Tetapi mereka lupa, dengan mempunyai sikap yang betul juga membantu pekerja untuk mendapat pengetahuan dan kemahiran, setelah bekerja dengan kita. Namun begitu, tidaklah dinafikan pengetahuan dan kemahiran juga penting.
Malah, Fowler memberitahu, “Semangat (sikap) yang dimanfaatkan dengan cara yang salah boleh menjadi sia-sia. Kunci kepada kejayaan, katanya, adalah sikap, kemahiran yang betul serta pengetahuan.
Berbalik kepada cerita latihan tadi, jika kita mencuba dengan melulu tanpa usul periksa, kemungkinan kita akan menjawab dengan salah. Namun selepas itu, kita boleh rancang sesuatu strategi , mungkin dengan bekerja dalam satu pasukan, adakan sesi visualisasi boleh atasi masalah. Sehinggalah kita dapat menjawab kesemuanya dengan betul.
Kata kuncinya, cuba dahulu! Andaikata masih kurang tepat, kita rancang strategi bagaimana untuk kurang kesilapan sehinggalah berjaya menjawab dengan betul!
Menurut Globoforce, 78 peratus daripada mereka yang bekerja antara 30 hingga 50 jam seminggu lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan sekerja berbanding dengan keluarga.
Untuk mewujudkan hubungan yang baik di tempat kerja, saya merasakan masa yang dihabiskan di pejabat amat mencukupi. Malah, ia bukan sahaja dapat meningkatkan moral seseorang pekerja tetapi juga dapat meningkatkan produktiviti dan kepercayaan di dalam sesebuah syarikat.
Berikut adalah beberapa tabiat yang akan merosakkan hubungan di tempat kerja :
Mengumpat di tempat kerja sering berlaku di mana-mana malah ia juga dapat merosakkan hubungan persahabatan di tempat kerja. Ia juga boleh mendatangkan sesuatu perkara yang buruk malah lebih tepat boleh menjadi “virus” yang akan merosakkan kualiti dan produktiviti.
Sedar ataupun tidak, bahawa mengumpat boleh mengeruhkan lagi keadaan di mana wujudnya perbalahan antara pekerja dan kurang persefahaman antara satu sama lain.
Jika anda mendengar sesuatu perkara yang kurang menyenangkan, lebih baik untuk anda siasat dahulu betul atau tidak berita yang disampaikan. Ini kerana, mencegah gosip di tempat kerja bukanlah perkara yang mudah.
Jika ini sering berlaku, lebih baik anda berdiam diri sahaja untuk mengelakkan sebarang kesulitan. Kerana, berdiam diri lebih baik dari ambil tahu perkara yang anda pun masih belum tahu kesahihannya.
Mungkin anda pernah berpengalaman berhadapan dengan pekerja yang tidak memberi komitmen yang baik. Seperti pekerja yang sering datang lewat, tidak menghadiri mesyuarat, dan gagal untuk mengikuti peraturan di pejabat. Ini menunjukkan bahawa, pekerja seperti ini tidak boleh dipercayai sama sekali.
Untuk mengelakkan perkara ini berlaku, anda perlu memberi komiten yang baik bagi meningkatkan mutu kualiti kerja dan produktiviti.
Selain itu, jika anda tidak boleh menyelesaikan sesuatu kerja sebelum tarikh yang diberikan, lebih baik untuk memberitahu terlebih dahulu perkara yang sebenar. Ini juga untuk mengelakkan perkara yang lebih buruk akan berlaku.
Kebanyakan pekerja suka untuk membuat kerja di saat-saat akhir. Ini kerana, bagi mereka membuat kerja di saat akhir akan membuatkan mereka lebih fokus untuk menyiapkan kerja secepat mungkin. Walaupun dengan cara ini amat berkesan bagi mereka yang melakukan kerja secara berseorangan.
Namun, ini mungkin nampak tidak adil bagi sesetengah pihak yang membuat kerja di awal waktu. Apabila anda bekerja di sebuah syarikat, anda sebenarnya bekerja di dalam satu kumpulan yang memerlukan kerjasama antara satu sama lain.
Jika masalah ini terjadi, ianya akan menyebabkan tekanan kepada pekerja di dalam satu jabatan. Untuk menjadi seorang pekerja yang terbaik, perlu ada sikap motivasi dalam diri, dan inginkan perubahan ke arah yang lebih baik.
Membuat kerja di awal waktu dapat meningkatkan hasil kerja yang bagus. Ini juga dapat membantu anda supaya tidak melengah-lengahkan sesuatu pekerjaan yang diberikan.
Setiap manusia pernah melalui zaman kanak-kanak. Dimana zaman ini sering berlakunya buli di antara rakan sebaya. Fikirkan semula, adakah anda suka dibuli? Sudah tentu tidak. Disebabkan oleh persekitaran ini berlaku di tempat kerja, ianya akan mewujudkan ketidakselesaan kepada orang lain.
Walaupun seseorang itu tidak terlibat dalam masalah ini, namun ianya sedikit sebanyak memberikan kesan yang negatif kepada diri mereka.
Berapa banyak masa yang anda luangkan pada sosial media setiap hari? Tidak salah untuk bersosial media di tempat kerja, tetapi pastikan anda terlebih dahulu menyiapkan kerja yang diberi.
Oleh kerana itu juga, ianya dapat memupuk sifat positif dan buat kerja di awal waktu. Pastikan masa di sosial media dapat seimbang dengan masa untuk siapkan kerja anda.
Salah satu perkara yang menyebabkan kerosakan hubungan di tempat kerja adalah, tidak menepati janji. Jika anda sudah berjanji kepada rakan anda, janji itu haruslah ditepati. Ini juga untuk mengelakkan perselisihan berlaku antara satu sama lain dan akan menyebabkan rakan anda menunggu dengan lebih lama.
Sebagai contoh, jika anda sudah aturkan masa untuk membuat temujanji, tetapi tidak dapat hadirkan diri tanpa alasan yang diberikan. Ini dapat membuatkan pelanggan anda menunggu dengan lebih lama.
Mengambil kesempatan atas kejayaan orang lain akan menyebabkan anda cenderung ke arah pentingkan diri sendiri. Namun, disebabkan hal ini berlaku akan menyebabkan hilangnya kepercayaan antara rakan sekerja. Apa yang perlu anda lakukan adalah, sentiasa berusaha ke arah yang lebih baik dan percaya pada diri sendiri. Elakkan mengambil kesempatan kebaikan orang lain atas kepentingan anda!
Menurut Carol Kinsey Goman, seorang pakar bahasa badan dan pengarang buku “Kelebihan bukan lisan: Rahsia dan Sains Bahasa Badan di Tempat Kerja”.
Menurut beliau, bahasa badan merupakan faktor yang paling penting ketika sedang bermesyuarat, salah satunya adalah hubungan mata apabila sedang berkomunikasi dengan orang lain. Ini menunjukkan sama ada anda seorang individu yang profesional atau pun tidak.
Setiap perbuatan yang anda lakukan ketika
hadir di bilik mesyuarat, mata orang lain akan menjadi penonton walaupun anda tidak menyedarinya.
Berikut merupakan empat kesilapan yang sering dilakukan oleh individu ketika sedang bermesyuarat :
Di mana sahaja anda berada, terutama sedang mesyuarat postur yang baik adalah penting bagi memastikan orang disekeliling merasa selesa dan hormat kepada anda. Namun, jika mesyuarat tersebut mengambil masa yang agak panjang, sudah pasti akan menyebabkan anda merasa bosan mahupun letih. Jangan sesekali membungkukkan diri anda, kerana akan timbul rasa kurang hormat kepada orang yang sedang bercakap dihadapan.
Apabila anda sedang berada di bilik mesyuarat, adalah amat penting untuk meletakkan telefon dalam mood senyap ataupun matikan telefon anda. Ini kerana, untuk mengelakkan daripada menganggu orang yang berada di sekililing.
Namun, jika anda kerap bermain dengan telefon semasa mesyuarat sedang dijalankan, sama ada menghantar mesej mahupun emel. Perbuatan ini akan menujukkan anda tidak memberi perhatian yang sepenuhnya ketika mesyuarat sedang berlangsung. Elakkan perkara ini kerap berlaku supaya anda tidak dipandang sinis oleh individu yang sedang bercakap.
Goman mengatakan bahawa, apabila anda tidak mempunyai hubungan mata yang baik dengan penonton atau dengan individu yang sedang bercakap di hadapan, ianya sama seperti anda bermain dengan telefon dan tidak memberikan perhatian yang sepenuhnya. Selain itu, ianya juga adalah satu kesilapan yang besar kerana tidak mengambil perhatian dengan apa yang sedang dibincangkan oleh mereka.
Dalam mana-mana perbincangan ataupun mesyuarat, setiap individu digalakkan untuk memberikan pendapat masing-masing. Tiada istilah ada perasaan malu atau sebagainya kerana, apabila anda bekerja dalam satu kumpulan, elakkan menjadi terlalu pendiam tanpa sebarang pendapat. Mereka memerlukan pendapat masing-masing untuk sentiasa menambah baik jika terdapat sebarang kekurangan dalam kerja.
Untuk menjadi seorang pekerja yang di sayangi oleh majikan, memenangi hati bos tidak akan menjadi satu halangan buat anda. Sekiranya anda tahu cara-caranya, pasti ianya mudah untuk dilakukan. Namun, anda harus bijak untuk merancang beberapa strategi supaya menjadi seorang pekerja yang disenangi oleh majikan.
Artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa tip yang mudah untuk anda ikuti. Ianya juga hasil dari penyelidikan saintifik dan pendapat daripada pakar.
Satu penyelidikan telah dilakukan oleh Michael G.Foster, dari Sekolah Perniagaan di Universiti Washington. Beliau mengatakan bahawa, pekerja yang sering tiba di pejabat tepat pada waktunya dianggap mempunyai prestasi kerja yang baik, jika dibandingkan dengan mereka yang sering datang lambat.
Namun, jika anda merasakan bahawa anda akan menjadi lebih produktif sekiranya bekerja dari waktu 10 pagi sehingga 6 petang, berbanding dengan pukul 9 pagi sehingga 5 petang. Apa kata anda berbincang dahulu dengan majikan tentang perkara ini. Mungkin dengan cara ini, majikan akan menganggap anda seorang pekerja yang jujur.
Tidak semua individu yang berani untuk meminta nasihat daripada majikan mereka, dan mungkin mereka lebih berhati-hati untuk bertanya. Anda juga mungkin ingin tahu bagaimana mereka boleh berjaya sehingga ke tahap yang boleh dibanggakan, serta apakah strategi yang sering digunakan oleh mereka untuk berjaya.
Kajian dari Harvard Business School menunjukkan bahawa, sekiranya anda meminta nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman, ini tidak bermakna anda seorang yang kurang bijak. Malah, ia boleh membuatkan anda menjadi seorang yang lebih berwibawa serta ingin mempelajari sesuatu yang baru.
Para penyelidik menjelaskan bahawa, apabila anda sering meminta nasihat mahupun pendapat perkara tersebut akan menyebabkan mereka lebih selesa untuk berkongsi segala ilmu yang ada.
Ianya adalah satu istilah dimana, anda harus peka dan tahu apakah yang membuatkan bos anda suka dan sering mengambil berat tentang sesuatu perkara. Menurut Dave Kerpen seorang pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, beliau memberitahu, seorang majikan sudah tentu ingin kelihatan hebat kepada majikan di atas mereka.
Dengan itu, majikan anda sentiasa ingin melakukan yang terbaik buat diri mereka dan juga syarikat. Secara tidak langsung, segala kesan positif pada mereka akan memberikan impak yang positif juga buat anda untuk mengambil mereka sebagai mentor untuk berjaya.
Menurut kajian yang telah dilakukan oleh Oxford Ekonomi, pekerja yang mengambil cuti untuk pergi bercuti sebanyak 6.5% lebih cenderung untuk mendapatkan minda dan pemikiran yang lebih meluas. Ini kerana, apabila pulang sahaja dari bercuti, secara tidak langsung anda mempunyai pemikiran yang lebih segar serta lebih produktif. Seorang majikan yang baik, tidak mungkin akan menghalang anda untuk pergi bercuti demi merehatkan minda dari kesibukan bekerja.
Jika anda mempunyai sebarang pendapat, elakkan dari berdiam diri sahaja tetapi segeralah bersuara. Ini kerana, sebagai seorang pekerja anda juga mempunyai hak untuk memberikan pendapat. Menurut Jenna Lyons, seorang presiden dan pengarah eksekutif dari J.Crew Grop Inc. Beliau mendapati bahawa, agak mustahil seseorang individu untuk memahami apa yang mereka inginkan sekiranya mereka tidak memberikan sebarang pendapat.
Setiap individu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Namun, jangan jadikan kekurangan tersebut sebagai satu halangan buat anda malu untuk bersuara. Sebaliknya, setiap individu sememangnya mempunyai hak untuk bersuara serta memberikan pendapat yang dapat membina untuk kebaikan bersama.
Memiliki rumah adalah hasrat semua individu. Penat lelah bekerja selama ini ada hasilnya. Balik kerja, tengok rumah bayar bulan-bulan akhirnya jadi milik kita. Bukan selamanya jadi penyewa. Bayar bulan-bulan bukan jadi milik kita pun akhirnya.
Membuat pinjaman perumahan daripada pihak bank ada yang mudah lulus, tidak lupa juga, ada yang sukar lulus. Tak hairan ada juga kes yang tak pernah-pernah lulus.
Jadi kenapakah perkara ni berlaku? Semakin tahun, bank akan lebih ketat. Antara sebab pihak bank tolak pemohonan kita adalah;
Bank akan memberi pinjaman perumahan pada mereka yang mampu dari segi kewangan. Pastikan tiap bulan ada lagi simpanan. Jangan tinggal berbelas ringgit je akhir bulan. Ansuran PTPTN pun tak mampu nak bayar, mana mungkin bank akan luluskan pinjaman perumahan. Tabiat menyimpan pun penting.
Mempunyai rekod pembayaran balik pinjaman tak begitu cun. Tak berdisiplin untuk membayar balik pinjaman yang telah dibuat. Rekod ini boleh disemak di Bank Negara Malaysia ataupun secara atas talian di www.creditbureau.com.my.
Cuba semak rekod CTOS. Biasanya mereka tak sedar mereka kena CTOS disebabkan jadi penjamin. Ada juga yang menjual kereta pada kawan, dan suruh kawan sambung bayar. Kawan tu tak bayar. Nama dia kena disenarai hitam.
Tidak mempunyai dokumentasi yang lengkap. Pegawai bank menguruskan pinjaman perumahan mungkin ada 40-50 permohonan perlu disemak. Jadi kalau dokumen tak lengkap, amat menyusahkan pegawai itu. Senaraikan maklumat peribadi, pendidikan, tempat kerja, pengalaman kerja, nombor telefon pejabat, surat pengesahan kerja dan sebagainya dengan lengkap.
Dengan ekonomi tidak menentu, amat penting bank menyemak di manakah kita bekerja. Pengalaman kerja dan tempoh bekerja. Jika bekerja di sektor kerajaan atau syarikat besar mungkin tidak ada masalah. Kestabilan tempat kerja kita juga diutamakan.
Senaraikan dengan lengkap:
Jika perkara ni kita buat sambil lewa sahaja, kemungkinan permohonan kita ditolak.
Kebanyakan pinjaman perumahan ditolak kerana rumah tersebut berada di pedalaman atau tempat terpencil. Kurang mendapat permintaan. Bank juga akan menolak pinjaman perumahan daripada pemaju disenarai hitam oleh kementerian dan agensi berkaitan.
Skor kredit berdasarkan analisis/tahap pembayaran balik kita berdasarkan rekod CCRIS. Ia menunjukkan kita bijak menguruskan wang. Antara dinilai, rekod CCRIS, kad kredit lebih had penggunaan, corak pembayaran balik, bilangan kad kredit dan sebagainya.
Aku bukan arif sangat tentang prosedur bank, tapi sering bertanya pada kenalan yang kerja di institusi kewangan dan membaca pengalaman orang supaya menjadi pengajaran pada aku di masa hadapan.
Jika kita gagal mendapatkan pinjaman perumahan di bank, cuba lagi bank lain. Banyak lagi bank. Tiap bank punyai SOP mereka tersendiri.
Akhir kata, berkawan dahulu dengan kawan kau siang malam bercerita pasal vape, bercerita pasal novel cinta, lepak kedai kopi mahal tu, bila sudah masuk 30 tahun baru cari kawan kerja bank ataupun kawan dalam bidang hartanah ni ya!
Harap pegawai bank pernah uruskan pembiayaan pinjaman perumahan boleh tambah lagi sebab permohonan pinjaman perumahan ditolak. Boleh dijadikan panduan pada anak muda di masa akan datang. Terima kasih.