Sewaktu di alam persekolahan, kita diajar bahawa mereka yang dapat masuk universiti adalah orang berjaya. Orang yang dapat Sarjana dianggap lebih pandai dari yang ada Sarjana Muda. Mereka yang ada PhD dikatakan lebih cerdik daripada kesemua orang lain.
Akhirnya, ramai berebut untuk nak letakkan gelar “Dr” di depan nama walaupun ia diambil dari universiti internet entah berantah.
Dalam keghairahan kita meraikan orang berjaya ini, akhirnya kita diberitahu sejumlah graduan tidak ada kerja. Mereka yang dikatakan pandai itu tidak mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri. Mereka hanya mampu berenang di dalam kolam tetapi tenggelam apabila dihumban ke lautan.
Sekarang hanya 2% graduan IPTA ceburi bisnes, berbanding 1% beberapa tahun sebelum ini. Secara bergurau saya katakan, “Itu hebat, peningkatan 100% dari 1% kepada 2%!”
Orang yang dikatakan berjaya itu hanya menunggu orang lain menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka. Sebaliknya, orang yang dikatakan gagal ini pula mampu mencipta peluang pekerjaan sendiri.
Saya dimaklumkan sekitar 80% usahawan di Malaysia tidak mempunyai pendidikan tertiari; dalam bahasa mudah, mereka tidak masuk universiti.
Orang yang tidak masuk universiti (dan dikatakan gagal oleh masyarakat) kini mencipta peluang pekerjaan (termasuklah kepada orang yang masuk universiti dan dikatakan berjaya itu).
Saya sebutkan soal ini untuk menggambarkan bahawa kita harus melihat semula konsep kejayaan dan kegagalan. Kita harus beralih dari proses dan output kepada outcome. Akhirnya, apakah yang kita mahu?
Begitu juga dengan keusahawanan. Selagi kita tidak mampu meraikan kegagalan, kita tidak akan berupaya menjadikan Malaysia sebagai sebuah entrepreneurial nation. Menurut Bloomberg, 80% bisnes gagal dalam tempoh 18 bulan pertama.
Kata Pengerusi Eksekutif PTS Media Group, Puan Ainon Mohd, usah guna perkataan bisnes gagal, gunakan istilah bisnes tak menjadi. Baiklah, 80% bisnes tak menjadi dalam tempoh 18 bulan pertama.
80% adalah satu jumlah yang tinggi. Sekiranya kita terus mengamalkan budaya melanyak mereka yang gagal ini, bagaimanakah mereka akan dapat bangun kembali? Sekiranya bisnes tak menjadi, kenapa mereka harus dihukum sebagai penjenayah dan seolah-olah tidak dibenarkan untuk bangun kembali?
Benarlah kata-kata, orang yang tak berbuat apa-apa tidak akan gagal. Orang yang tidak berdiri, tidak akan jatuh.
Seperti yang pernah saya tulis sebelum ini, keusahawanan ialah satu idea, harapan, impian dan masa depan. Usahawan akan bersinar mata apabila bercakap mengenai masa depannya. Walaupun berbisnes di gerai bumbung zink, usahawan melihat dirinya berada dalam gedung berpuluh tingkat berhawa dingin.
Walaupun berada di dalam terowong gelap penuh tikus, usahawan mampu merasakan diri berada di atas awan dan disinari warna-warna pelangi yang indah. Itu usahawan.
Sekiranya kita ingin membangunkan entrepreneurial nation, keseluruhan ekosistem keusahawanan itu harus berubah. Usahawan kena berubah.
Agensi pembangunan keusahawanan, termasuklah institusi pembiayaan, kena berubah. Cara kerajaan melihat apa yang disebutkan sebagai kegagalan juga kena berubah.
Mari, kita raikan kegagalan. Mari, kita rayakan bisnes bungkus. Dari kegagalan ini kita belajar untuk membina sebuah harapan dan masa depan. Kita belajar dari kegagalan ini untuk tidak mengulangi kesilapan lalu. Kegagalan adalah pengalaman.
Mark McCormack, pengarang buku What They Don’t Teach You at Harvard Business School berkata, “Dalam aktiviti jualan, tiada aset yang lebih berharga daripada mendengar”. Hakikatnya apabila klien anda mengetahui anda sedang mendengar, kepercayaan akan terbentuk.
Anda perlu tahu bahawa anda tidak boleh membina kepercayaan di pihak klien jika anda tidak mendengar. Jurujual yang hebat mendengar emosi pelanggan, bukannya fakta.
Komunikasi ibarat aisberg; hanya 20 peratus sahaja yang kelihatan, sementara 80 peratus lagi berada di bawah permukaan.
Apabila anda mendengar berdasarkan fakta, anda mendengar cuma 20 peratus perkara yang klien ingin sampaikan kepada anda. Apabila anda mendengar berdasarkan emosi anda akan memperolehi baki yang 80 peratus itu.
Jika anda hendak mengetahui pendapat seseorang tentang produk anda dan dia menjawab “Bagus” tetapi suaranya mendatar dan kedengaran agak kebosanan, anda akan tahu bahawa itu bukan maksud sebenar beliau.
Anda boleh menggunakan teknik-teknik mendengar berikut sama ada dalam proses jualan, pertemuan bisnes, membina jaringan dan sebagainya.
Definisi: Mengulangi sesetengah perkataan yang digunakan oleh klien semasa anda mendengar mereka bercakap.
Klien anda berkata “Saya makan kek buatan awak dan saya sukakannya”. Anda membalas “Awak makan kek yang saya buat?” sambil menganggukkan kepala sedikit dan teruskan mendengar.
Klien anda berkata “Saya baru beli kereta Perodua yang baru dan saya sukakannya – enjinnya berkuasa”. “Oh, enjinnya berkuasa” anda membalas dan berhenti sekadar itu, membiarkan klien meneruskan percakapan.
Pendengaran reflektif membantu membina hubungan baik melalui tiga cara:
Pendengaran reflektif sangat berguna semasa anda menunggu untuk membincangkan isu sebenar.
Menggunakan perkataan, frasa atau ayat yang lain untuk menyampaikan perkara yang sama.
Klien: Harga barangan mentah hari ini sangat mahal
Anda: Ya, harganya tinggi
Klien: Prestasi ekonomi kurang baik
Anda: Betul. Prestasi ekonomi merudum.
Pernahkah anda berhadapan dengan seseorang yang sedang cuba mencari maklumat daripada anda dengan melontarkan deretan soalan bertalu-talu. Apa yang anda rasa?
“Kosmetik apa yang anda sedang pakai? Berapa lama anda sudah menggunakannya? Ada hadapi apa-apa masalah semasa menggunakannya? Berapa harganya? Kenapa anda memilih jenama berkenaan berbanding jenama-jenama lain?”
Tiada siapa pun suka untuk dipengaruhi dengan cara sedemikian rupa. Pendengaran perkongsian menukar proses mendengar untuk memperolehi maklumat menjadi proses perbualan.
Jadi klien tidak berasa seolah-olah mereka sedang disoal siasat. Klien berasa selesa berkongsi maklumat yang anda perlukan, dan anda memperolehi maklumat dengan cara halus.
Perbualan jurujual dengan pengunjung bilik pameran kenderaan.
Anda: Boleh saya tahu apakah kereta yang tuan sedang gunakan sekarang?
Klien: Hyundai Atoz.
Anda: Ada apa-apa masalah?
Klien: Ada. Sistem ekzos. Lain-lain ok je.
Anda: Tuan tak keseorangan. Saya ada kawan yang pakai Atoz – cantik, tapi selepas 60,000 km kena baiki. Saya pun rasa enjin Atoz kurang power.
Klien: Lebih kurang kereta saya, memang kurang pickup. Saya sedang dalam perancangan nak tukar kereta yang lebih power.
Anda: Oh, Honda City baru memang pickup. Sebarang masalah alat ganti, kereta ni ada jaminan tiga tahun. Jadi tuan boleh bertenang dan tak perlu fikir masalah alat ganti. Semua risikonya pada kami.
Berbual-bual, berbanding bertanya soalan demi soalan, adalah cara yang bagus untuk membuatkan klien mendedahkan maklumat-maklumat penting.
Teknik ini sangat berguna apabila klien enggan bercakap atau memberitahu maklumat. Apabila anda berkongsi perasaan sendiri tentang sesuatu perkara, klien akan berasa lebih selesa dan dia akan berkongsi idea-idea selanjutnya.
Sesi persekolahan 2016 sudah bermula. Mungkin tip ini sesuai untuk tuan puan aplikasikan untuk mendidik anak-anak tentang perancangan kewangan.
Cara biasa yang dilakukan oleh ibu bapa, termasuk saya dahulu ialah kita beri wang belanja sekolah dan berpesan;
“…ambil duit belanja sekolah ini. Belanja dan kalau ada lebih simpan dalam tabung”.
Ia diasuh sejak hari pertama sekolah. Setiap hari dipesan perkara yang sama;
“… Kalau ada lebih, simpan dalam tabung..”
Anak tadi dari hari pertama darjah satu, hingga masuk darjah dua dipesan perkara sama. Apabila masuk sekolah menengah pun dipesan perkara sama. Apabila masuk universiti pun dipesan perkara sama;
“…ambil duit buat belanja, kalau ada lebih, simpan…”
Lalu, apakah yang kita harapkan kepada anak tadi apabila grad daripada universiti dan mendapat gaji pertama? Mereka akan belanja dahulu, kemudian barulah simpan!
Ya, itu yang akan mereka lakukan sebab itulah yang diajar, diasuh dan dididik sejak dari kecil.
Saya juga diasuh begitu. Cari itu tidaklah salah, tapi ia melahirkan generasi yang mendahulukan berbelanja berbanding menyimpan.
Hasilnya, statistik menunjukkan bahawa hanya sedikit rakyat Malaysia mempunyai simpanan yang mencukupi terutama orang Melayu Muslim. Jadi, apa yang kita boleh lakukan?
Kita boleh “mengubah masa hadapan”, dengan mengubah sedikit sahaja tabiat. Sebenarnya, hanya perlu mengubah ayat sahaja, daripada kita berpesan;
“…ambil duit untuk belanja, kemudian kalau lebih boleh simpan dalam tabung…”, kita boleh ubah kepada; “…ambil duit dan simpan, ada lebih baru belanja…”.
Ia tidak sukar, cuma mencabar kebiasaan. Saya pun baru mulakan sejak tahun lepas, dan kadang kala terlepas pandang juga. Tahun lepas hanya seorang anak yang ke sekolah membawa duit belanja, tahun ini bertambah menjadi 3 orang.
Untuk menjadikan ia tabiat harian, wang saku diberikan di rumah bukan apabila sampai di sekolah kerana jika di rumah boleh terus masukkan ke dalam tabung. Saya siap-siap keluarkan wang not RM1 dari bank sebanyak beberapa ratus untuk sebulan dan simpan di rumah.
Setiap pagi sebelum hantar mereka ke sekolah, saya letakkan duit belanja di tabung anak-anak , dan berpesan;
“Kakak, Kak Aika, Abang Ni, ambil duit belanja sekolah dekat tabung. Kemudian simpan seringgit dalam tabung. Yang lebih buat belanja sekolah…” Semoga dengan cara ini dapat melahirkan generasi baru yang lebih mengutamakan simpanan sebelum berbelanja.
Bergelar manusia, tidak dapat lari kita perlu bekerja dengan manusia lain dan menjadi seorang pemimpin. Samada seorang ketua di pejabat, suami dalam sebuah rumahtangga mahupun seorang abang atau kakak — ianya memerlukan skil kepimpinan.
Kepimpinan bermula dengan proses mengenali samada diri sendiri, insan disekeliling yang boleh membantu dan juga mengenali imej atau gambaran kejayaan. Terdapat beberapa teknik yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian tentang bagaimana manusia berfikir.
Memahami cara manusia berfikir dapat mengurangkan risiko salah faham, konflik mahupun krisis dan pastinya menjana produktiviti yang lebih baik kerana energi yang ada digunakan sepenuhnya untuk pembangunan — tiada lagi terasa hati sesama sendiri.
Menariknya apabila kepimpinan adalah skil yang boleh dipelajari. Teruskan menekuni langkah-langkah dibawah untuk memahami cara manusia lain berfikir dan seterusnya mencipta keserasian.
Tiada siapa yang bangun pada waktu pagi dan berazam untuk menyakitkan hati sesiapa. Masih ingat lagi perasaan hari pertama bersedia ke tempat kerja sewaktu habis belajar?
Kita tidur malam dan bangun pagi lebih awal, bersiap dengan pakaian yang paling elok dan melangkah dengan semangat menjayakan organisasi itu.
Tidak pernah terfikir sama sekali untuk menjadi beban atau menghancurkan organisasi kita bekerja. Begitu juga dengan pekerja yang masuk ke dalam organisasi kita. Dia sangat mahu berjaya. Berikan peluang ini dengan memahami naluri manusia yang sukakan kebaikan dan kejayaan.
Maklumat yang diterima oleh pekerja boleh jadi adalah arahan atau pemberitahuan.
Dengan memahami cara manusia menerima maklumat dan melakukan proses keatasnya membuatkan minda kita lebih tenang (dan produktif!)
Cara manusia menerima maklumat adalah proses yang akan dilakukannya selepas ini untuk mencapai objektif kita.
Menurut kajian, terdapat empat (4) proses yang sering diambil oleh manusia.
Keempat-empat proses diatas akan berakhir dengan suatu keputusan yang kita mahukan iaitu objektif.
Berikan ruang untuk setiap pekerja melakukan prosesnya. Yang penting ialah keputusan akhir.
Terdapat lapan (8) butang motivasi emosi manusia tentang mengapa mereka melakukan apa yang mereka lakukan sekarang (dan mengapa mereka tidak melakukannya!)
Memahami motivasi emosi manusia dapat membantu kita lebih jelas tentang keperluan dalaman seseorang individu kerana butang ini dapat menyerlahkan potensi dan kebolehan sebenar seseorang.
Terdapat lapan motivasi emosi yang boleh menjadi pendorong iaitu :
Seorang manusia akan mempunyai top 3 motivasi emosi nya. Asalkan kita mengenali apakah ia — dia akan bahagia melakukan sesuatu kerja kerana ianya juga adalah kemahuannya. Menjadi pemimpin akan mudah dengan ilmu. Teruskan perjalanan mencari ilmu keusahawan, kepimpinan dan kehidupan ya!
Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim adalah seorang pegawai perisikan tentera yang berkhidmat selama 13 tahun dalam ATM hingga memperoleh pangkat Mejar. Pada tahun 1993, setelah berhenti dari tentera, beliau dan isteri memulakan perniagaan kereta terpakai.
Anak jati Sungai Petani, Kedah ini kemudiannya mula berulang-alik ke London untuk membeli kereta terpakai sebelum menjualnya di Malaysia. Masa tu beliau tidak memiliki AP namun dia berkongsi AP dengan rakan-rakan yang memiliki permit tersebut. Lama kelamaan beliau berjaya juga memiliki AP dari kerajaan dan perniagaan keretanya semakin menjadi sebutan.
Kemudian kerajaan mengambil keputusan memberhentikan pemberian AP terbuka dan hanya menawarkan franchise AP. Untuk mendapatkan franchise AP, Syed Azman perlu dilantik oleh syarikat kereta asing sebagai pengedar, kemudian barulah permit itu dianugerahkan kepadanya.
Nasib menyebelahinya apabila beliau berjaya mendapatkan kepercayaan daripada Honda untuk melantiknya sebagai pengedar beberapa jenis kereta tersebut di Malaysia antaranya Honda Jazz. Kemudian Syed Azman mendapat hak untuk mengedar pula Chevrolet dan Suzuki.
Dalam satu temubual dengan akhbar The Star tak lama dulu, Syed Azman berkata, selama menjalankan urusan perniagaan, beliau bosan kerana masanya banyak habis di jalan lalu rakannya mencadangkan beliau membeli helikopter sahaja untuk ke sana dan ke sini.
Pada tahun 2003, beliau membeli sebuah helikopter dengan harga US$1.5 juta bagi kegunaan hariannya, bila heli itu tidak digunakannya, beliau sewakan saja pada mereka yang berminat. Ketika itulah beliau sedar yang permintaan untuk helikopter ini tinggi di Malaysia. 5 tahun kemudian, beliau berjaya mendapatkan kontrak pertama untuk menyediakan perkhidmatan helikopter untuk membawa pekerja sektor minyak dan gas ke pelantar.
Hari ini, pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS) itu memiliki lebih 40 buah helikopter, 4 buah jet persendirian dan beliau juga memiliki kontrak bernilai RM8 billion bagi membawa pekerja pelantar minyak hingga menjadikannya antara lelaki Melayu terkaya di Malaysia ketika ini.
Ini belum campur perniagaan peluru berpandu, peralatan pertahanan, hartanah, kenderaan, pembinaan dan sebagainya. Walaupun harta dan asetnya mencecah bilion ringgit, Syed Azman enggan menyatakan jumlahnya. Beliau hanya menjawab: “Saya tak boleh beritahu jumlah harta saya, mak saya tak suka”.
Cukupkah pengetahuan kewangan kita untuk menempuh tahun mencabar ini? Saya yang baru sahaja masuk ke kapal terbang untuk penerbangan balik ke tanah air tertarik dengan tajuk akhbar hari ini setelah diberikan surat khabar oleh pramugara Malaysian Airlines.
Harga minyak jatuh lagi. Apa yang terjadi andai harga minyak terus menjunam? Adakah kerajaan akan “revise” belanjawan negara? Mampukah Petronas bertahan dalam situasi ini? Apa akan jadi dengan matawang negara?
Apakah kerajaan akan meningkatkan lagi cukai? Apakah lebih ramai orang akan dibuang kerja tahun ini? Dan bermacam-macam persoalan lagi yang timbul dalam pemikiran ini sementara “ground crew” membuat persediaan untuk berlepas.
Pada saya, kita beri perhatian pada perkara yang dalam kawalan kita dahulu. Semua persoalan diatas tidak dalam kawalan kita. Apa yang dalam kawalan kita adalah kewangan peribadi kita dan kewangan syarikat kita.
Izinkan saya untuk berkongsi sedikit pandangan dan pengalaman saya tentang kewangan baik untuk peribadi mahupun syarikat sebagai seorang lulusan aktuari dan pengarah urusan untuk syarikat saya.
Kembali pada asas. Apa juga yang berlaku, prinsip asas kewangan masih “Belanja kurang dari pendapatan”. Memang itu sahaja yang diceritakan dalam hampir semua buku kewangan. Memang itu pun diajar dalam semua seminar atau kelas. Kenapa? Kerana memang itu kebenarannya!
Terdapat dua kaedah untuk mencapai matlamat ini: mengurangkan perbelanjaan dan meningkatkan pendapatan. Dengan menumpu pada 1 atau kedua-dua aspek ini membolehkan kita untuk membesarkan jurang antara 2 angka ini.
Dan jurang itu adalah tiket kita untuk “kebebasan kewangan” atau “financial freedom”.
Bagaimana untuk tingkatkan pendapatan? Ramai yang akan cakap tiada satu cara umum untuk tingkatkan pendapatan. Benar, sesetengah dari kita dilahirkan dengan DNA usahawan dan sesetengah dari kita berfungsi degan lebih bagus dalam pejabat.
Ada orang yang yang mempunyai kreativiti yang tiada batas, ada sahaja idea dia. Ada orang pula memang tidak kreatif tetapi jika diberi senarai tugas yang banyak, beliau mampu untuk selesaikan semuanya.
Setiap dari kita dilahirkan dengan kelebihan tersendiri. Tidak semestinya menjadi usahawan lebih baik dari yang makan gaji. Ramai sahaja yang berniaga berpuluh tahun tetapi tidak maju berbanding yang makan gaji.
Tetapi jika kita kaji betul-betul, terdapat beberapa perkara umum yang sesiapa sahaja boleh buat tidak kira apa situasi kewangan mereka atau apa pekerjaan mereka untuk menambah pendapatan.
Tidak bermaksud balik ke sekolah. Maksud saya, terus menerus belajar! Belajar perkara baru! Baca buku berkenaan bidang yang anda minati. Ambil peperiksaan profesional atau sambung pembelajaran. Tak kira apa jua yang sedang kita usahakan pasti ada perkara baru yang boleh kita belajar dan pertingkatkan nilai diri kita.
Sentiasa cari cara untuk duit bergolek masuk poket kita dari pelbagai cara. Andai anda suka menulis, anda boleh hantar artikel pada majalah dan ada majalah yang membayar untuk artikal yang berkualiti.
Anda juga boleh tulis ebook. Atau menjadi pemandu Uber. Ia juga sebagai langkah menyahut seruan kerajaan untuk melakukan 2 pekerjaan. #2kerja. Secara ringkasnya, maksud saya dalam menambah aliran pendapatan ialah jika anda kehilangan pekerjaan anda yang sekarang ini impaknya kurang dan pendapatan keseluruhan anda bertambah.
Saya dulu pernah ambil upah “tolong” fotostatkan buku. Juga pernah ambil upah perbaiki komputer contohnya.
Kita tidak tahu hubungan yang kita bina pada masa lalu mungkin akan membantu kita dimasa depan. Kadang- kadang dari orang yang tidak pernah kita jangka. Oleh itu jika ada orang yang telah lukakan hati kita atau kita terasa berdendam dan terasa mahu cakap buruk tentang orang itu, tahan! Sabar!
Anda akan perasan, saban hari kita akan terserempak dengan orang yang pernah kita kenal. Maka, jangan sekali-kali putuskan mana-mana silatulrahim. Ia tidak membantu. Dan sentiasalah hubungi kawan-kawan lama. Facebook kan ada.
Kebanyakan orang salah anggap antara kesederhaan dengan kedekut. Kesederhanaan bukanlah sehingga memakai pakaian yang lusuh penuh bertampal, bawa kereta cabuk yang boleh mati enjin bila-bila masa atau memakai kasut yang bunganya pun sudah tiada.
Penuhi keperluan, tangguhkan kemahuan. Saya pernah jumpa ramai jutawan senyap yang tidak mewah langsung. Tidak pakai baju berjenama mewah, pakai telefon yang baling orang boleh koma atau beg-beg yang harganya tidak masuk akal.
Namun, wang tunai dalam bank boleh buat anda juling mata mahu kira, hartanah banyak, tidak lemas dengan pinjaman bank dan mereka hidup dalam kehidupan yang berpandukan peraturan mereka.
Berikut adalah cara saya berjimat :
Buat keputusan setiap kali anda berbelanja adakah berbaloi nilai yang anda dapat dengan harga yang anda bayar? Kuncinya adalah, apakah nilai yang anda dapat dengan setiap ringgit yang anda belanjakan.
Contohnya, ada situasi kita yang kita sedar kita ‘tidak berapa perlu perkara itu’ boleh buat keputusan untuk tidak beli atau belilah versi yang murah dahulu untuk tengok keperluan. Jangan takut untuk membeli.
Ramai orang mempunyai rutin membeli latte yang overprice, beli surat khabar yang tidak pernah dibelek atau makan ditempat yang sama setiap hari. Belanja RM 5 lebih sehari pada hari bekerja (Isnin hingga Jumaat) jika dicampur-campur akan menjadi RM 1300 setahun.
Itu sudah bayaran bulanan pinjaman rumah untuk kebanyakan orang. Periksa kembali semua perkara yang kita buat setiap hari terutama yang berkaitan dengan wang ringgit. Tanya diri samada itu adalah keperluan atau kemahuan.
Setiap kali mahu membeli barang atau membayar bil berhenti 10 saat dan tanya diri samada kita memang mahu perkara yang kita akan belanjakan duit ini? Contoh, perlukah kita ambil pakej yang unlimited SMS sedangkan sebulan kita mungkin hanya hantar 5 SMS. Teknik ringkas ini akan selalu tunjukkan arah berbelanja kurang.
Kebanyakan masa apabila kita potong perbelanjaan kita, kita tak perasan pun kekurangan itu. Andai kata ada perbelanjaan yang lepas kita potong menyusahkan kita, maknanya ia tidak berbaloi untuk dipotong.
Berjimat tidak boleh disamakan dengan kesusahan, ia cuma bermakna anda potong yang tidak perlu.Saya selalu bersorak gembira andaikata saya tahu saya berjaya untuk berjimat.
Apabila anda berjaya meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan, anda akan dapati anda mempunyai lebihan tunai setiap hujung bulan. Lebihan tunai itulah tiket anda kepada kebebasan kewangan.
Lagi banyak anda dapat lagi cepat anda mencapai matlamat. Tetapi! Sentiasa ingat “Penuhi keperluan dan tangguhkan kemahuan”. Gunakan lebihan itu untuk stabilkan masa depan. Apa yang patut dilakukan dengan lebihan tunai itu? Begini caranya…
Diri saya sendiri guna kad kredit seperti wang tunai. Sebab malas bawa tunai banyak ke hulu ke hilir. Tetapi saya tahu ramai yang guna kad kredit untuk berhutang. Selesaikan itu dahulu. Selesaikan kadar faedah yang paling tinggi dahulu kemudian ke kadar faedah yang lebih rendah.
Dana kecemasan ini adalah duit yang disimpankan dalam akaun simpanan yang bertujuan hanya untuk digunakan semasa kecemasan seperti kehilangan pekerjaan, kemalangan kereta dan macam macam lagi.
Ukur dana kecemasan ikut belanja kehidupan bulanan. Saya cadangkan simpan minimum 6 bulan punya belanjawan kehidupan. Kalau boleh adakan simpanan cukup untuk bertahan 2 tahun untuk selesa. Mahu berhenti kerja dan mula berniaga? Adakan dana ini dahulu.
Jika ada lebihan lagi, melaburlah. Pelaburan bukan kepakaran saya lagi kerana masih mencari rentak dan cuba-cuba, jadi saya tidak mahu tulis banyak.
Kebanyakan orang melihat tujuan semua ini adalah untuk jadi kaya. Semua orang mahu jadi jutawan kan?
Objektifnya begini. Ia bukan untuk menjadi kaya, tetapi ia tentang kebebasan. Kebebasan dari hutang. Kebebasan untuk mencuba perkara baru dalam hidup. Kebebasan masa untuk beribadah. Kebebasan untuk melancong ke mana sahaja yang kita mahu pergi.
Itu yang kebanyakan orang mahu. Sekurang-kurangnya itu yang saya mahu.
Pada tahun 2015 satu kajian telah dilakukan oleh LinkedIn, mendedahkan sebab mengapa pekerja mengambil keputusan untuk meninggalkan tempat kerja mereka.
Perkara ini berlaku adalah kerana kekurangan peluang kerjaya di syarikat tersebut. Hal ini juga akan menyebabkan syarikat tersebut kekurangan ahli pekerja dan juga kesan pengambilan ahli baru akan terjejas.
Dari kajian tersebut mendapati bahawa, sebanyak 59% mereka berbuat demikian adalah kerana tempat kerja yang baru lebih membuka peluang kerjaya yang begitu banyak.
Untuk mengelakkan perkara ini terus berlaku, majikan terutamanya memainkan peranan yang penting bagi membentuk sebuah organisasi yang berjaya serta dapat menambah pekerja yang sememangnya berbakat.
Jadi persoalannya, mengapakah perkara ini boleh berlaku? Baca artikel ini dengan selanjutnya supaya dapat membuka mata anda mengapa pekerja berhenti kerja.
Setiap syarikat pasti mahukan sebuah organisasi yang mempunyai matlamat untuk dicapai. Pada tahun 2014, sebuah kajian telah dilakukan oleh Brandon Hall Group. Mereka mendapati bahawa, apabila berkaitan tentang pengurusan prestasi dalam sebuah organisasi, sebanyak 74% mengatakan prestasi setiap pekerja dan matlamat syarikat perlu diberikan keutamaan.
Perkara ini perlu di ambil berat oleh syarikat tersebut untuk mengelakkan pekerja merasa terasing dan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan majikan mereka. Ini akan menyebabkan keadaan menjadi dengan lebih teruk apabila pekerja mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mencari kerja yang lebih baik.
Apabila sebuah syarikat mengetahui akan tanggungjawab mereka, pastinya matlamat yang ingin dicapai sejajar dengan matlamat pekerja mereka. Anda harus tahu, sebuah syarikat yang berjaya datangnya dari majikan dan pekerja yang sering bekerjasama antara satu sama lain.
Jika matlamat yang ingin dicapai sejajar dengan matlamat pekerja, secara tidak langsung pekerja akan sentiasa merasa dihargai.
Sebuah syarikat yang berjaya seharusnya mereka mempunyai fokus terhadap matlamat yang ingin dituju. Walau bagaimanapun, mereka harus memupuk kekuatan pekerja mereka dahulu demi mengukuhkan kestabilan syarikat.
Namun, sebuah organisasi juga memainkan peranan yang penting untuk sentiasa komited demi membina kekuatan dalam syarikat tersebut.
Suasana yang kondusif di tempat kerja memainkan peranan yang paling penting bagi mewujudkan persekitaran yang selesa.
Namun, akibat daripada suasana di tempat kerja yang tidak kondusif perkara ini akan menyebabkan pekerja hilang semangat dan kurang fokus apabila melakukan tugasan. Apabila perkara ini berlaku, bagaimana mereka ingin memenuhi matlamat kerja?
Walau bagaimanapun, setiap individu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Namun, jangan jadikan kelemahan itu sebagai satu alasan untuk anda tidak berusaha dan tidak mempunyai fokus dalam setiap tugasan yang diberikan.
Jika anda seorang individu yang introvert iaitu yang agak pemalu dan suka menyendiri, lebih baik jika anda mengubah tabiat tersebut dan menjadi lebih extrovert demi kebaikan pada masa akan datang.
Bagi individu yang telah mendapatkan pekerjaan yang tetap dan kerja sepenuh masa, perkara ini mungkin agak sukar bagi mereka untuk hendak menyambung pelajaran.
Namun, ini juga disebabkan oleh kekurangan wang dan tidak mempunyai masa yang mencukupi. Walau bagaimanapun, ada sesetengah organisasi akan mengimbangi perkara tersebut.
Selain itu, bagi individu yang mempunyai jadual kerja yang agak fleksibel, melakukan kerja di rumah, serta mempunyai pinjaman dapat membantu mereka untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Faedah ini bukan sahaja dapat membantu pekerja melanjutkan pelajaran malah, mereka juga menjadikan pekerja tesebut lebih setia untuk bekerja dengan lebih lama di syarikat tesebut.
Sebuah organisasi yang tidak mempunyai sistem yang teratur akan menyebabkan pekerja mereka memilih untuk mencari pekerjaan yang lebih baik. Majikan seharusnya memberi peluang kepada pekerja untuk menukar dan memberikan posisi yang baru tetapi masih di dalam organisasi yang sama.
Ini akan menunjukkan bahawa, pekerja diberikan nafas dan suasana yang baru bagi meningkatkan semangat dan motivasi dalam diri.
Selain dari itu, tanpa usaha yang kukuh dan semangat tidak mungkin individu tersebut dapat mencapai kejayaan yang diinginkan.
Tambahan pula, bagi individu yang dinaikkan pangkat prestasi yang baik mencerminkan keupayaan yang ada dalam diri tetapi, bukan kepada berapa tempoh masa anda telah berkhidmat di syarikat tersebut. Jelaslah disini bahawa, kemajuan syarikat terletak kepada prestasi individu tersebut.
Jika anda mahu mempunyai pekerja yang cemerlang, jangan sesekali menyekat peluang mereka. Sentiasa berikan mereka kebebasan untuk membuat keputusan sendiri serta, tunjukkan kepada mereka peluang yang ada dan bagaimana untuk mencapai matlamat yang ingin dikecapi.
Syarikat e-dagang yang berpangkalan di Malaysia, Aladdin Group of Companies, melabur US$5 juta untuk mewujudkan Aladdinstreet.com.my , iaitu platform beli-belah e-pasaran patuh Syariah dan Halal pertama negara.
Pengasas Bersama Kumpulan Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor berkata laman e-dagang itu, yang dijangka dilancarkan pada akhir bulan ini, akan memenuhi keperluan perkhidmatan perbankan dan kewangan, farmaseutikal, fesyen, kosmetik dan kecantikan serta makanan dan minuman.
“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, platform e-dagang itu, dengan sasaran 1,500 peniaga, akan menyediakan 30,000 produk dalam talian”, katanya kepada pemberita selepas pelancaran awal aladdinstreet.com.my oleh bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini Rabu.
Mengenai penyertaan peniaga dalam laman beli-belah secara dalam talian itu, Sheikh Muszaphar, yang juga angkasawan pertama negara, berkata ia adalah melalui jemputan.
Beliau berkata syarikat turut menyasarkan pasaran Islam dan bukan Islam di lebih 30 buah negara di seluruh dunia, termasuk India, Eropah, China, Indonesia dan Timur Tengah.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Aladdin Azizi Meor Ngah berkata syarikat dijangka melabur kira-kira US$100 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi aktiviti pemasaran dan promosi di luar pasaran Malaysia.
E-platform antarabangsa, Aladdinstreet.com, yang akan memenuhi keperluan pasaran global, akan dilancarkan pada suku kedua 2016.
Anda ada idea bisnes. Maka, langkah seterusnya ialah validate idea bisnes tersebut. Ini bertujuan menentukan ia memenuhi keperluan pelanggan dan sekaligus meningkatkan kemungkinan idea bisnes itu berjaya. Bagaimana nak lakukan?
Perkara pertama yang boleh dilakukan ialah buat carian di internet. Atau, WhatsApp saudara dan kawan-kawan. Tanya. Tanya. Tanya.
Cuba tanya, apakah yang telah dilakukan oleh usahawan sebelum ini? Bagaimanakah anda boleh memberi nilai tambah kepada produk atau perkhidmatan sedia ada? Apakah unique value proposition atau sesuatu yang menjadikan produk atau perkhidmatan anda berbeza dengan apa yang ada sekarang?
Sekiranya carian anda tidak menemui apa-apa, mungkin elok tanya mengapakah tidak ada. Mungkin ada sebab lain mengapakah tidak ada usahawan melakukan apa yang anda fikirkan itu.
Dapatkan maklumbalas daripada pelbagai pihak. Dengar semua, termasuk yang mengkritik. Apa yang anda perlukan ialah pendapat yang jujur, walaupun panas.
Usah cari cheerleaders yang bersorak dengan idea hebat anda itu. Sesetengah orang, terutama sekali adik-beradik atau kawan-kawan, mungkin memuji idea itu kerana tidak mahu melukakan hati anda. Berhati-hati.
Buat minimum viable product (MVP). Cuba pasarkan produk atau perkhidmatan. Dapatkan pelanggan pertama. Sekiranya ada pelanggan, maka anda tahu ia boleh dipasarkan dengan lebih luas. Sekiranya tidak, anda rugi sedikit dan boleh cari idea lain yang diperlukan oleh pasaran.
Usah habiskan wang dengan membuat produk yang banyak atau membelanjakan wang untuk infrastuktur (pejabat, kenderaan dan lain-lain) sebelum validate idea bisnes itu.
Semua maklumat termasuk database semua outlet mesti disimpan. Ia termasuk nama pasaraya/kedai/syarikat, alamat lengkap, no telefon, faks, emel, individu yang bertanggungjawab, bahagian Akaun, pembeli. Gambar premis/pasaraya/kedai juga termasuk sekali.
Outlet perlu ada gred. Gred 1/2/3. Gred dikelaskan mengikut jumlah jualan. Dan juga perlu dikelaskan mengikut jenis. Contoh kedai sejuk beku dan kedai runcit dalam 1 kelas. Pasaraya dalam kelas lain.
Apabila dibahagikan dengan kelas, kita akan sediakan servis outlet mengikut kelas masing-masing. Bagi yang cepat mempunyai rekod jualan tinggi, kita akan buat jadual lawatan (visitation) lebih kerap. Bagi outlet kecil dan jualan rendah, masa lawatan servis akan lebih lama sebab mahu beri masa mereka buat jualan. Jika tidak, banyak masa dilaburkan dan kos minyak meningkat.
Mengikut kelas juga, kita akan tentukan alat pemasaran dan pengiklanan yang kita perlu buat. Contoh bagi outlet Gred 1, kita akan bagi signboard, freezer, banting, banner dan liputan dalam laman web, Facebook mahupun akhbar. Outlet Gred 2, hanya freezer dan banting. Outlet Gred 3, hanya banting dan flyers.
Bagi outlet yang pelanggannya ramai, kita akan buat sampling. Bagi pelanggan rasa dan beritahu produk kita ada di premis tersebut. Yang ini perlu khidmat promoter.
Selepas 1 bulan, perlu buat laporan jualan setiap outlet. Ada outlet yang kerap buat pesanan tetapi dalam jumlah yang sikit. Ada outlet jarang buat pesanan, tetapi jumlahnya tinggi. Jadi perlu buat keputusan bagaimana yang buat pesanan kerap tetapi sedikit ini untuk kita tukarkan kepada , buat pesanan banyak walaupun jarang. Hal ini untuk jimatkan masa dan kos penghantaran.
Outlet yang berpotensi, kita kena ambil tahu secara kerap sebab kita kena fikir bagaimana mahu tingkatkan jualan di outlet tersebut.
Buku bil/invois, satu buku itu untuk satu daerah. Contoh Daerah Kota Bharu, semua bil/invois outlet di Kota Bharu perlu berada dalam satu buku bil. Dan dimuka depan buku bil tersebut, perlu tulis nama outlet masing-masing.
Setiap kali balik dari servis outlet, mesti ada borang untuk tunjukkan jualan terkumpul serta laporan harian.
Perlu tentukan jadual servis lawatan harian outlet. Setiap kali servis , perlu ambil cop kedai. Dalam 1 hari sudah ada dimana dan kemana outlet yang perlu diservis. Perlu tandakan outlet yang sudah pergi dan sebaliknya. Sebab jika tidak, akan berlaku kecuaian. Lagi-lagi, kecuaian akan lebih banyak berlaku jika mempunyai outlet banyak.
Kedudukan produk dalam outlet juga sangat penting. Perlu tawar-menawar dengan pemilik outlet untuk letakkan produk di kawasan yang mudah dilihat. Ia sangat mempengaruhi sales.
Di luar premis outlet, perlu ada poster/banting/banner yang memaklumkan pelanggan bahawa produk kita ada disitu. Jika tiada, bersemadilah produk kita disitu..
Perlu ada flyers yang memberitahu penduduk setempat bahawa produk kita ada di sesuatu outlet. Juga boleh guna banner, banting, iklan Facebook, akhbar, SMS dan laman web untuk memaklumkan kewujudan produk kita di sesuatu outlet.
Buat penilaian selepas 6 bulan. Jika produk tidak laku juga, ambil balik produk dan letak di tempat lain. Jika laku, teruskan aktiviti pemasaran untuk jadikan ianya lebih laku. Jika ini berlaku, anda sudah temui outlet berkualiti anda.
Kekalkan outlet berkualiti dan terus tambah outlet baru. Lakukan penilaian. Lakukan proses ini secara berulang sehinggalah satu masa outlet yang tinggal adalah outlet yang berpotensi sahaja.